Tuesday 18 December 2012

BAB 10 : PENULISAN LAPORAN PENYELIDIKAN

PENULISAN PROPOSAL/ CADANGAN PENYELIDIKAN

Bidang mestilah khusus bagi kajian yang akan dilaksanakan.
Contoh: Metodologi Dakwah, Tokoh Dakwah, Pembangunan Insan, Kaunseling Islam, Media Dakwah, Komunikasi Dakwah, Penulisan Dakwah, psikolosi Dakwah, Institusi Dakwah.

TAJUK
Pernyataan tajuk mestilah mampu menjelaskan persoalan pokok dan fokus kepada kajian yang hendak dilakukan
Contoh: Metodologi Dakwah Terhadap Orang Asli di Pos Tohoi, Gua Musang, Kelantan

LATAR BELAKANG MASALAH
Membincangkan situasi atau punca timbulnya masalah yang akan dikaji. Keberkesanan perbincangan ini boleh dilihat pada kemampuannya untuk menampakkan masalah berkenaan dan pentingnya untuk diteliti dan didalami. Bahagian ini akan memperlihatkan premis bagi kajian berkenaan.
Bagi menjelaskan bahagian ini, kajian perpustakaan perlu dilakukan.

PERNYATAAN MASALAH
Bahagian ini hendaklah merumuskan persoalan sebenar yang akan dikaji. Ia boleh dibuat dalam bentuk penjelasan tentang perkara yang akan menjadi tumpuan kajian, atau juga dalam bentuk senarai soalan.
Contoh: Apakah konsep Saudara Baru?
Bagaimanakah JAIS melaksanakan pendidikan untuk Saudara Baru

OBJEKTIF KAJIAN
Objektif menjelaskan halatuju kajian dan perkara-perkara yang diharap akan dicapai di akhir kajian nanti. Pernyataan ini hendaklah jelas, rasional serta relevan dengan masalah yang dikaji. Objektif hendaklah mampu dicapai dan pencapaiannya itu sewajarnya boleh diukur.
Contoh: menjelaskan tentang konsep Saudara Baru menurut Islam.

HIPOTESIS KAJIAN (JIKA PERLU)
Hipotesis ialah pernyataan sementara tentang hubungan antara unsur-unsur yang dikaji atau tentang cara penyelesaian bagi sesuatu masalah. Sekiranya calon merasakan bahawa pernyataan seperti ini diperlukan untuk kajiannya bagi mempastikan bahawa kajiannya akan lebih terfokus maka pernyataan berkenaan hendaklah dibuat secara jelas, padat dan tidak mengelirukan.

KEPENTINGAN KAJIAN
Calon hendaklah menjelaskan kepentingan dan sumbangan kajian yang akan dilaksanakan terhadap bidang yang dikaji seperti dapat memantapkan penjelasan tentang sesuatu hukum, memperkemaskan sesuatu kaedah, membetulkan sesuatu fahaman atau seumpamanya. Juga kepentingan dan sumbangannya dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat.

DEFINISI TAJUK
Bahagian ini menjelaskan knsep-konsep utama yang terdapat pada tajuk yang dicadangkan itu. Penjelasan ini akan membantu penilai cadangan untuk lebih memahami tajuk serta skop kajian.

SKOP KAJIAN
Skop dimaksudkan ialah batasan kajian yang akan dijalankan. Penjelasan ini perlu bagi mempastikan penilai dapat memahami sempadan kajian berkenaan.
Contoh: Kajian akan mengedar 100 borang soal selidik kepada 100 orang saudara baru yang menyertai program dakwah di JAIS.

KERANGKA TEORI DAN ULASAN KAJIAN LITERATURE
Menjelaskan kerangka teori atau Theoretical framework yang akan menjadi asas bagi menyelesaikan atau menghuraikan masalah yang akan dikaji. Calon perlu membincangkan hasil-hasil kajian lepas yang berkaitan atau boleh dikaitkan dengan masalah yang dikaji terutama sekali untuk menjelaskan kedudukan kajian dalam konteks kajian-kajian yang pernah dilakukan.

KAEDAH PENGUMPULAN DATA/ METODOLOGI KAJIAN
Bagi kajian yang melibatkan pengumpulan data lapangan, calon hendaklah memberi penjelasan yang teliti dan meyakinkan tentang kaedah-kaedah yang akan digunakan. Bagi calon yang akan menggunakan kajian perpustakaan sepenuhnya, sumber data/ maklumat hendaklah dijelaskan.

KAEDAH ANALISIS KAJIAN
Menjelaskan perancangannya tentang cara bagaimana mengoleh data yang akan dikumpul untuk menjawab objektif kajiannya.
Kajian lapangan – analisis kuantitatif (SPSS)
Kajian teks - analisis kualitatif(Nvivo)

BIBLIOGRAFI
Senaraikan rujukan yang telah digunakan untuk menyediakan cadangan kajiannya. Senarai ini hendaklah meyakinkan penilai bahawa rujukan sewajarnya telah dibuat.

JADUAL KERJA PENYELIDIKAN
Satu jadual kerja perlu dilakukan supaya kajian itu berjalan dengan lancar mengikut jadual.
Contoh: (RUJUK PENSYARAH)

PELAKSANAAN PENYELIDIKAN
Sepanjang proses penyelidikan berjalan, hubungan dengan penyelia perlu dilakukan. Pastikan memperolehi nasihat secukupnya dalam menentukan bentuk penyelidikan yang akan dilaksanakan.
Penyelidikan sebenar tidak akan dapat dilakukan sepenuhnya jika cadangan penyelidikan belum dihalusi dan dipersetujui oleh penyelia.

Sebarang perubahan metod atau prosedur dalam kajian hanya dibuat dengan persetujuan penyelia
Semua perkembangan penyelidikan dan penulisan kajian hendaklah dimaklumkan kepada penyelia
Simpan data bahan kajian yang diperolehi bagi menghadapi kemungkinan ia diperlukan kemudian.

DRAF PERTAMA – draf pertama bab-bab penulisan hendaklah dihantar kepada penyelia dengan bertaip, bersih dan kemas serta dimasukkan dalam folder. Folder mesti bernama, bertajuk dan disertakan rangka kasar kajian.
DRAF KEDUA – semasa hantar draf kedua, draf pertama dikepilkan bersama. Ia dibuat dengan mengambilkira ulasan dan komen penyelia terhadap draf pertama.

GAYA PENULISAN – mengikut format penyediaan penyelidikan yang disediakan oleh APIUM. Segala ejaan, transliterasi, susunan ayat dan penggunaan istilah hendaklah betul.
PENGESAHAN TAJUK
Permohonan pengesahan tajuk perlu dilakukan sebelum semester bermula. Permohonan melalui borang perlu dibincangkan terlebih dahulu dengan penyelia yang dipilih masing-masing.

PENYERAHAN PENYELIDIKAN
Sebelum dijilid, draf terakhir keseluruhan kajian hendaklah ditunjukkan terlebih dahulu kepada penyelia untuk semakan terakhir. Penyerahan penyelidikan yang sudah dijilid hendaklah menggunakan borang yang disediakan oleh Jabatan. Penyelidikan mesti dihantar seminggu sebelum peperiksaan bermula atau dengan budi bicara dengan penyelia.

ETIKA PENYELIDIKAN
Penulisan mestilah hasil asal calon. Sebarang bentuk plagiarism dilarang sama sekali. Plagiarism ialah perbuatan mengambil idea, tulisan, data atau rekjaan orang lain dan mendakwa idea, tulisan, data atau rekaan itu adalah hasil ciptaan atau dapatannya sendiri. Plagiarism juga berlaku apabila idea, perkataan, tulisan, data, rekaan karya orang lain diguna tanpa mencatatkan rujukan karya asal atau penghargaan kepada penulis asal.

ABSTRAK
Abstrak mengandungi penjelasan ringkas berkenaan tujuan utama, masalah, kaedah dan penemuan utama kajian. Panjang abstrak lebih kurang 500 patah perkataan.

 http://teknikpenulisanilmiah.blogspot.com/2009/10/kuliah-7-proposal-penyelidikan.html


TIPS MENULIS ARTIKEL JURNAL
Setelah memperihalkan aspek-aspek teknikal berkaitan dengan penerbitan artikel jurnal, saya suka pula membincangkan beberapa tips dalam penulisan artikel jurnal. Namun, kepelbagaian bentuk kajian dan bidang menjadikan penulisan artikel itu berbentuk rencam dan pelbagai. Oleh itu, saya akan berkongsikan tips-tips umum sahaja yang boleh digunakan sebagai panduan oleh kepelbagaian bidang tadi, insyaAllah.

Tips umum
Pertama sekali, anda sebagai penulis perlu mempunyai modal jika anda mahu berniaga. Penulisan artikel adalah buah daripada hasil kajian yang anda lakukan. Oleh itu, anda perlu mewujudkan modal itu dahulu sama ada melalui kajian sendiri, kajian kerjasama dengan organisasi ataupun kumpulan.
Anda juga perlu mengenali bidang kepakaran yang menjadi kekuatan anda seperti sosio linguistik, psikolinguistik, psikologi pendidikan, kurikulum, korpus, kontrastif dan sebagainya. Anda juga mungkin sahaja pakar dalam bidang ekonomi dan juga sains. Namun, bidang-bidang ini juga mempunyai sub-sub kepakaran masing-masing. Anda tidak boleh terlalu tamak kerana anda tidak akan mampu untuk menjadi pakar dalam semua bidang. Penulisan artikel yang berkualiti memerlukan fokus dan penelitian dalam literatur yang melibatkan aspek teori serta aplikasi. Bagi membina penguasaan literatur, ia memerlukan masa dan melibatkan pembacaan serta penelitian yang teliti. Anda mungkin boleh menjimatkan masa dalam perkara ini dengan membuat perkongsian pintar dengan pakar. Mungkin para profesor ataupun pelajar Ph.D dan sarjana boleh memandu anda dalam pembacaan literatur. Anda boleh sahaja memohon bantuan mereka dari segi teori dan literatur, namun anda pula mengepalai kajian aplikasinya.
Perkara ini juga biasa berlaku apabila melibatkan projek kajian yang besar. Seorang pakar dari Amerika Syarikat mungkin akan meminta bantuan kepakaran di Malaysia bagi mengepalai pengumpulan maklumat di bahagian Asia Tenggara yang boleh menyempurnakan satu kajian yang berskala besar. Inilah yang dinamakan sebagai kajian kolaborasi dan suasana menang-menang pun dapat diwujudkan antara para pengkaji. Seorang profesor dalam bidang kejuruteraan mungkin sahaja memerlukan bantuan literatur daripada seorang sarjana dalam bidang perubatan ababila kajiannya melibatkan rentas disiplin ilmu. Dengan cara ini, perkongsian kepakaran akan berlaku dan ilmu juga akan berkembang merentasi bidang.
Anda perlu mengenali tokoh dalam bidang penulisan anda. Perkara ini akan membolehkan anda melihat trend perbincangan dan perbahasan semasa dalam bidang tersebut, mengkaji corak perbahasan yang diterima oleh pihak jurnal serta boleh menjejaki nama jurnal yang menerbitkan artikel tersebut. Anda juga boleh merujuk kepada penulisan tokoh tersebut seterusnya dapat meningkatkan lagi mutu akademik penulisan anda.
Anda juga perlu mengkaji corak penulisan dan trend semasa kajian berkaitan dengan bidang anda. Kajian yang baik belum tentu akan diterbitkan oleh jurnal berimpak tinggi sekiranya perbahasan itu sudah lapuk dan sudah tepu. Ini kerana impak yang mampu dihasilkan adalah kurang kerana pengkaji sudah tidak membincangkan perkara itu lagi.
Anda juga perlu mengenali jurnal yang berpotensi menerbitkan hasil penulisan anda. Jurnal-jurnal berimpak tinggi khususnya yang terindeks dalam ISI Tomson dan SCOPUS sangat menitikberatkan skop penulisan. Sekiranya skop penulisan artikel itu terkeluar daripada skop jurnal, maka ia akan ditolak tanpa diwasitkan.

Binaan sebuah artikel
Sesebuah artikel akademik biasanya terdiri daripada tajuk, abstrak, pendahuluan, metodologi, dapatan kajian, perbincangan, rumusan dan cadangan, penutup dan senarai rujukan. Saya akan membincangkan perkara ini secara umum supaya ia dapat dimanafaatkan oleh semua.

Tajuk
Tajuk artikel haruslah ringkas, jelas dan melambangkan perbahasan utama artikel. Tajuk yang baik seeloknya menarik perhatian ramai untuk membacanya.

Abstrak
Abstrak artikel perlu mengandungi pendahuluan ringkas tentang kajian. Selepas itu, penulis perlu menerangkan objektif utama dan objektif terperinci kajian. Sekiranya objektif itu melebihi dua perkara, penulis boleh mempertimbangkan penggunaan nombor bagi menjelaskan perkara ini. Selepas itu, metodologi kajian perlu dijelaskan dengan terperinci. Ia melibatkan reka bentuk kajian, populasi serta kaedah persampelan. Penulis juga perlu menyenaraikan dapatan kajian secara ringkas mengikut turutan objektif kajian tadi. Penggunaan nombor juga mungkin boleh dipertimbangkan sekiranya objektif itu melebihi dua perkara. Abstrak kajian juga perlu disertakan secara ringkas implikasi kajian terhadap amalan semasa ataupun sumbangan kajian terhadap badan ilmu. Jumlah bilangan perkataan dalam abstrak adalah bergantung kepada jurnal. Ada yang menetapkan tidak melebihi 100 patah perkataan, namun kebiasaannya adalah antara 100 sehingga 300 patah perkataan. Sekiranya bilangan abstrak melebihi atau berkurangan daripada jumlah yang ditetapkan, maka kebiasaannya pihak jurnal akan memulangkan artikel itu kembali kepada penulis untuk diperbaiki. Malah ada jurnal yang menetapkan format tertentu dalam penulisan abstrak. Perkara ini bergantung kepada pihak jurnal.

Pendahuluan
Pendahuluan artikel perlu mempunyai latar belakang kajian serta teori yang mendasari kajian tersebut. Penulis juga perlu menjelaskan kajian-kajian terdahulu yang pernah membincangkan persoalan yang serupa. Ini bagi membolehkan pembaca melihat kedudukan kajian terbaru ini dalam badan ilmu. Seterusnya, penulis perlu membentangkan pernyataan masalah kajian yang mendorong kajian itu dilakukan. Begitu juga, apakah bentuk sumbangan kajian baru ini terhadap badan ilmu secara keseluruhannya. Kemudian, penulis perlu menyatakan persoalan kajian ataupun hipotesis kajian. Nombor mungkin boleh diperimbangkan sekiranya persoalan kajian itu melebihi satu. Kesemua elemen ini harulah diletakkan di bawah pendahuluan dan dibezakan oleh perenggan yang berbeza. Bahagian ini perlu diringkaskan dan biasanya tidak melebihi 3 halaman. Citaton yang cukup perlu dilakukan penulis bagi menunjukkan bahawa penulis telah menguasai literatur secukupnya. Sebaiknya juga segala perbahasan perlulah dirujuk kepada sumber rujukan utama dan bukannya diambil dari sumber yang kedua seperti penulisan tesis dan sebaginya. Sebagai contohnya, jika penulis bercakap mengenai Teori Piaget, maka rujukan sepatutnya menggunakan buku Piaget itu sendiri dan bukannya tesis atau buku orang lain yang datang selepas itu.

Metodologi
Pada bahagian ini, penulis perlu menjelaskan reka bentuk kajian yang digunakan sepeti kajian eksperimen, tinjauan, kajian kes, action research, kajian etnografi, kajian campuran metode (mixed method), analisis dokumen ataupun kajian kepustakaan. Penulis juga harus menerangkan latar belakang populasi, teknik persampelan, jumlah bilangan sampel kajian serta rasional bilangan tersebut, pemilihan responden dan juga lokasi kajian yang terlibat. Selain itu, penulis juga harus menerangkan bentuk-bentuk instrumen yang digunakan, serta teknik kesahan dan kebolehpercayaan instrumen yang penulis gunakan. Bagi kajian kualitatif pula sebagi contohnya, penulis harus menerangkan apakah teknik kesahan yang digunakan seperti teknik kesahan Cohen Kappa dan sebagainya. Sekiranya penulis menggunakan akronim, maksud akronim tersebut perlu dijelaskan. Penulis juga perlu menerangkan bentuk teknik analisis yang digunakan seperti penggunaan Statistical Package for the Social Sciences (SPSS), Rasch Model, Structural Equation Modelling (SEM) dan sebagainya.

Dapatan kajian
Seeloknya, dapatan kajian perlu disusun mengikut susunan persoalan kajian supaya para pembaca dan penilai dapat mengaitkannya dengan persoalan kajian yang disebut terlebih dahulu. Persembahan data juga perlu mengikut standard jurnal. Kebanyakan jurnal menggunakan standard The American Psychological Association (APA), namun terdapat juga jurnal yang menggunakan format yang lain. Oleh itu, penelitian kepada format penulisan yang digariskan oleh setiap jurnal akan sedikit sebanyak membantu para penulis. Begitu juga, penulis boleh juga melihat contoh artikel yang telah diterbitkan oleh jurnal tersebut bagi mendapatkan gambaran kasar tentang jangkaan pihak jurnal. Bagi data kualitatif pula, terdapat jurnal yang lebih menggemari teknik naratif berbanding teknik persembahan data sebenar. Oleh itu, perkara ini adalah subjektif dan bergantung kepada setiap jurnal. Walaupun begitu, corak persembahan data ini haruslah teliti, jelas dan tersusun.

Perbincangan
Bahagian ini menunjukkan penguasaan penulis dalam membincangkan isu utama penulisan. Seeloknya perbincangan ini disusun mengikut susunan persoalan kajian supaya pembaca dapat fokus dan mengaitkannya dengan dapatan. Penulis perlu membincangkan persoalan kajian secara kritis satu persatu berpandukan dapatan kajian dan ulasan literatur yang mantap. Ia juga perlu disokong oleh teori dan kajian-kajian yang lepas. Seterusnya, penulis harus merumuskan apakah bentuk penemuan baru atau penemuan yang menyokong dapatan terdahulu yang menyumbang kepada badan ilmu dan amalan semasa. Perbincangan perlu ditulis secara sistematik, akademik dan tidak meleret-leret. Setiap pernyataan harus diperkuatkan dengan bukti yang boleh diambil daripada kajian-kajian yang lepas. Elakkan membuat pernyataan secara ‘syok sendiri’ tanpa disertakan buktinya. Apa yang penting, perbincangan seharusnya dalam bentuk yang akademik.

Kesimpulan dan cadangan
Dalam bahagian ini, penulis harus membuat rumusan secara ringkas tentang kajian yang dilakukan dan apakah bentuk sumbangan kajian tersebut kepada badan ilmu. Penulis juga harus mengemukakan cadangan-cadangan baru yang terhasil daripada penemuan kajian yang dilakukan. terhadap keadaan semasa.

Penutup
Dalam bahagian ini, penulis harus mengemukakan secara ringkas tentang kajian yang dibuat, penemuan-penemuan yang penting dan implikasi kajian. Penulis harus mengelakkan diri  daripada membuat citation baru.

Rujukan
Penulis harus memastikan bahawa setiap citation yang dibuat dalam teks harus disebut dalam bahagian rujukan. Penggunaan perisian-perisian tertentu seperti EndNote boleh membantu penulis dalam perkara ini. Senarai rujukan juga perlu ditulis berdasarkan format yang telah ditetapkan. Seeloknya, penulis perlu meluangkan masa untuk membaca Guide for authors yang disediakan oleh pihak jurnal terlebih dahulu. Ini kerana jurnal berlainan menggunakan format yang berlainan pula. Dalam penulisan artikel, penulis perlu memperbanyakkan penggunaan rujukan yang terkini, seboleh-bolehnya 60 peratus terdiri daripada bahan yang berumur kurang daripada 5 tahun daripada tahun artikel itu ditulis. Terdapat juga jurnal yang menghadkan bilangan rujukan bagi setiap artikel. Sebagai contohnya, Gema Online Journal hanya membenarkan penggunaan 30 rujukan bagi setiap artikel yang dihantar.

 http://ghazaliyusri.wordpress.com/2012/05/18/tips-menulis-artikel-jurnal/


 
Jenis - jenis penulisan ilmiah

Jenis-jenis penulisan ilmiah terbahagi kepada 5 iaitu esei ilmiah, kertas kerja, laporan kajian, tesis, dan disertasi. Kaedah penulisan ilmiah sama sahaja dan ia lebih kepada huraian yang lebih ringkas tetapi padat dan mudah difahami.Esei ilmiah ialah karangan ilmiah yang pendek tentang topik atau permasalahan berdasarkan data yang diperolehi melalui rujukan perpustakaan atau kerja lapangan. Penghuraiannya bersifat rasional-empiris dan objektif. Kebaikan dalam penulisan esei ilmiah ialah ia dapat menghuraikan sesuatu permasalahan dengan lebih ringkas dan seterusnya dapat menyampaikan maklumat dengan lebih tepat dalam keadalam yang lebih mudah dan ringkas.

Kertas kerja ialah penulisan ilmiah yang memaparkan sesuatu fakta atau permasalahan berdasarkan data kerja lapangan atau rujukan perpustakaan. Analisis dalam kertas kerja adalah lebih serius serta bersifat rasional-empiris dan objektif. Kertas kerja biasanya ditulis untuk diterbitkan dalam jurnal akademik atau dibentangkan dalam pertemuan ilmiah seperti seminar, bengikel dan sebagainya. Kebaikan kertas kerja pula ialah ia lebih bersifat terperinci walaupon masih lagi ringkas. Selain itu juga, kertas kerja lebih bersifat formal kerana setiap permasalah akan dibincangkan dalam seminar atau perjumpaan.Laporan kajian atau penyelidikan ialah penulisan ilmiah yang menyampaikan maklumat atau fakta tentang sesuatu kepada pihak lain. Penghuraiannya juga bersandarkan kepada metodologi saintifik dan berdasarkan data kerja lapangan atau rujukan perpustakaan. Kebaikan dalam penyediaan laporan kajian pula ialah ia dibentuk bg menyampaikan fakta atau sesuatu kepada pihak lain yang mungkin bertujuan untuk menyampaikan input berguna kepada pihak tertentu. Ia merupakan fakta yang mempunyai rujukan dan lebih bersifat saintifik.

Tesis ialah penulisan ilmiah yang sifatnya lebih mendalam. Tesis mengungkapkan pengetahuan baru yang diperoleh daripada pengamatan atau penyelidikan sendiri. Penulisan ilmiah ini melibatkan pengujian hipotesis bagi membuktikan kebenaran. Tesis biasanya ditulis oleh pelajar peringkat Sarjana Muda Kepujian dan peringkat Sarjana serta perlu dipertahankan di hadapan panel viva-vocĂȘ. Kebaikan dalam penyediaan tesis ialah ia lebih bersifat fresh iaitu ia ditulis oleh para siswazah yang bertjuan untuk membuat sesuatu kajian dan ia lebih menguntungkan semua pihak kerana hasil penulisan di kongsi dan permasalahan dirungkai.

Disertasi ialah penulisan ilmiah tahap tertinggi dalam hierarki pancapaian akademik, iaitu untuk mendapatkan gelaran Doktor Falsafah (Ph.D). Disertasi melibatkan fakta berupa penemuan penulis sendiri berdasarkan metodologi saintifik dan analisis yang terperinci. Seperti tesis, disertasi juga perlu dibentangkan dan dipertahankan di hadapan panel atau lembaga viva-vocĂȘ. Kebaikan dalam penghasilan disertasi pula ialah ia lebih komplik dan hasil penulisan dapat diguna pkai untuk memperbaiki sesutu permasalahan.


  
4.2 Kaedah dalam penulisan ilmiah
Reka bentuk penulisan lebih sesuai dimulakan dengan memikirkan proses penulisan secara berurutan dan langkah demi langkah.  Semasa proses ini berjalan penulis akan melakukan pembetulan dan penyesuaian sedikit langkah-langkah penulisan.  Sebelum menulis kertas laporan penulis perlu sedar bahawa kertas laporan membentangkan apa yang telah dilakukan.  Oleh itu tumpuannya adalah kepada hasil, implikasi, kesan, dan impak tujuan asal kertas cadangan kajian atau kertas kerja diadakan.  Laporan digunakan dengan meluas untuk menyimpan rekod dan menyampaikan hasil sesuatu kerja.  Laporan juga memberi asas untuk membuat keputusan dan melaksanakan tindakan. Tajuk yang dimuatkan dalam laporan ilmiah ialah:
a)   Abstrak  - memuatkan tiga perkara: mengapa kajian dijalankan, bagaimana ia dijalankan, dan apakah hasilnya (nama untuk bahagian ini berubah-ubah mengikut jenis kajian yang dijalankan – sinopsis untuk karya kreatif, dan ringkasan untuk bahan lain yang berbentuk akademik/ilmiah), dan mengikut manual penerbitan APA  (American Psychological Association) abstrak tidak boleh lebih daripada 1 m.s., jika boleh hadkan pada 1 perenggan sahaja yang mengandungi 120 perkataan/970 aksara/spaces.
b)   Jadual Isi Kandungan (elok dimasukkan jika hasil penulisan itu mengandungi lebih daripada 20 m.s. double spacing)
c)   Pengenalan dan Latar Belakang (mestilah ringkas)
d)   Tinjauan Bacaan (ringkas, yang penting sahaja)
e)   Metodologi (yang telah diluluskan dan dijalankan, secara ringkas, termasuk sedikit maklumat tentang responden, instrumen penyelidikan, dan cara data  dianalisis)
f)   Analisis Data (yang telah diluluskan dan digunakan, secara ringkas)
g)   Keputusan dan Perbincangan (kesan terhadap subjek kajian dan juga sumbangan kepada bidang ilmu, secara terperinci kerana inilah bahagian/perkara yang terpenting di dalam laporan dengan merujuk kepada soalan kajian/hipotesis)
h)   Penutup (jangkaan dan pandangan untuk masa hadapan – memberi pandangan, hala tuju, pegangan dan pendirian penulis tentang tajuk itu)
i)   Bibliografi/Rujukan
j)   Lampiran/Apendiks (Appendix)

Oleh itu, kaedah dalam penulisan ilmiah tidaklah begitu mudah dan ia memerlukan strategi dan kaedah yang betul supaya dapat menghasilkan penulisan yang baik bergantung kepada situasi yang betul. Oleh itu, kebaikan dalam mematuhi kaedah dalam penulisan ilmiah ialah penulis akan dapat menghasilkan penulisan yang lebih strategik dan lebih berkesan dan selain itu juga hasil penulisan lebih menarik dan segala mesej yang ingan disampaikan berjaya disampaikan.


1 comment:

  1. Isi kandungan yang sangat baik untuk dijadikan rujukan dan contoh dalam thesis malaysia

    ReplyDelete